Skip to content

Lazada Dan Fama Kolaberasi Mendigitalkan Perniagaan Usahawan Tani

Kredit: hmetro.com.my

Lazada bekerja sama dengan Fama digitalisasi perniagaan usahawan tani menerusi program Onboarding Produk Agromakanan di Platform E-Dagang.

Platform pemasaran bagi membantu usahawan tani meningkatkan pendapatan di Sabah

Lazada Malaysia dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) telah berganding bahu untuk mendigitalkan perniagaan usahawan tani tempatan menerusi program Onboarding Produk Agromakanan di Platform E-Dagang.

Program ini mendapat sokongan daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam pembangunan sektor pertanian negara, projek perintis ini bakal menyaksikan beratus-ratus usahawan tani tempatan memulakan perjalanan mereka di platform Lazada dalam usaha menyokong sektor pertanian negara.

Program ini juga sebahagian daripada Inisiatif e-dagang MDEC dalam Belanjawan 2021 dapat mempercepatkan proses pendigitalan ladang dan usahawan tani dalam usaha merangsang pertumbuhan kategori berkenaan dalam ekonomi digital.

Dengan kerjasama Lazada, Fama akan menghubungkan rangkaian peladang mereka kepada platform e-dagang di mana usahawan tani yang baru menyertai platform bukan sahaja boleh belajar di Lazada University, malah dapat membantu mereka membuka gedung digital masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Magnus Ekbom berkata, pendigitalan sektor ini amat penting untuk memastikan perniagaan kecil dan sederhana dalam industri pertanian dapat mencapai kemampanan jangka panjang dalam era apabila pengguna berusaha mengurangkan sentuhan fizikal dan membeli-belah dalam talian untuk barangan runcit dan keperluan kini menjadi kebiasaan.

"Menerusi kerjasama ini, kami berharap masyarakat pertanian dapat mendigitalkan perniagaan dan memindahkan produk mereka ke dalam talian dengan bantuan Lazada.

"Platform Lazada menyediakan saluran terus untuk menjual hasil tanaman dalam talian yang dihantar terus ke meja pengguna pada harga lebih baik manakala pengguna boleh membeli daripada mereka dengan lebih cekap dan pada harga berpatutan," katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA, Datuk Mohamad Mustahapa Awang berkata, melalui kerjasama di antara FAMA, Lazada dan MDEC ini, FAMA mensasarkan nilai jualan sebanyak RM1.5 juta yang akan memberi manfaat kepada 121 orang usahawan tani di bawah bimbingan FAMA dan membabitkan hampir 600 produk.

"Kerjasama ini akan diperluaskan lagi kepada lebih 50,000 orang usahawan tani FAMA sedia ada di selurus negara.

"Di samping itu, FAMA akan dapat memperkasa platform pemasaran bagi membantu usahawan tani meningkatkan pendapatan mereka ke arah pendigitalan selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0)," katanya.

Sementara itu, rakyat Malaysia akan dapat menikmati pelbagai manfaat sebagai pengguna seperti Penghantaran Percuma dan baucar diskaun bernilai sehingga RM15 dengan perbelanjaan minimum RM60.

Leave a Comment